52 daripada 107 menara telekomunikasi Jendela di Johor sudah beroperasi - Utusan Malaysia

52 daripada 107 menara telekomunikasi Jendela di Johor sudah beroperasi

TEO NIE CHING (dua dari kanan) menunjukkan keputusan 'speed test' liputan internet ketika melawat tapak infrastruktur komunikasi Jendela Fasa 1 di Felda Inas, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebanyak 52 daripada 107 menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu yang dibangunkan di negeri ini telah beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah selebihnya dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memberi arahan kepada kontraktor dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memastikan semua menara Jendela beroperasi sekurang-kurangnya hujung tahun ini.

“Jadi, kita minta mereka ikut pelan asal, tetapi jika sambungan fiber mengambil masa lama, sambungkan dahulu dengan gelombang mikro atau starlink supaya penduduk dapat perkhidmatan internet.

“Ini kerana kita tidak mahu penduduk mempersoalkan kewujudan menara telekomunikasi tetapi Internet masih perlahan,” katanya selepas melawat tapak infrastruktur komunikasi Jendela Fasa 1 di Felda Inas, di sini hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai memberitahu, empat tapak menara Jendela di negeri ini belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan memandangkan projek tersebut akan dibangunkan di kawasan hutan simpan.

Mengulas tentang menara telekomunikasi Jendela di Felda Inas, beliau memberitahu, ia telah beroperasi sejak 31 Julai lalu dan memberikan manfaat kepada 1,639 penduduk di tanah rancangan itu.

“Menerusi ujian kelajuan yang dibuat, ‘download speed’ semua syarikat telekomunikasi adalah lebih baik daripada kelajuan minimum ditetapkan, iaitu 7.7 megabait sesaat (Mbps). Paling perlahan adalah 16 Mbps dan paling laju 127 Mbps.

“Sebelum menara ini dibangunkan, memang liputan internet di sini kurang memuaskan tetapi sekarang kita nampak liputan tiada masalah. Saya harap kita dapat terus sediakan perkhidmatan internet kepada penduduk sekitar menerusi inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya