50 penguat kuasa termasuk pegawai imigresen mungkin didakwa Oktober ini

50 penguat kuasa termasuk pegawai imigresen mungkin didakwa Oktober ini

TAN SRI AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 50 penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) yang ditahan terlibat dalam kegiatan ‘counter setting’ kemungkinan akan didakwa Oktober ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata, pihaknya setakat ini sudah menahan 50 suspek berkaitan siasatan kes berkenaan.

“Saya nak tengok adalah (siasatan) kita telah disiap dan cuma kita kena bawa kepada pendakwa raya untuk keputusan mereka. 

“Jadi kita akan cadangkan beberapa pertuduhan terhadap mereka dan tidak kurang juga di mana kes-kes yang dilihat boleh dibawa kepada pihak jabatan (JIM) untuk dicadangkan tindakan tatatertib juga akan dibuat kerana ramai kita telah tangkap iaitu 50 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan selepas menjadi tetamu pada program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Sementara itu, Azam berkata, beliau juga akan bertemu dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berhubung cadangan tindakan tatatertib oleh JIM terhadap kakitangannya yang terbabit dengan kegiatan ‘counter setting’.

“Saya akan berbincang  mengenai isu yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 dengan lebih lanjut berkait isu ‘counter setting’,” katanya.

Sebelum ini, SPRM menyenaraikan 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan JIM sehingga membuka ruang kepada sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Azam dilaporkan berkata, masalah utama berlakunya masalah itu adalah disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.

Katanya, kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 tidak sistematik.

Azam turut dilaporkan berkata dalang utama yang terbabit isu ‘counter setting’ akan didakwa Oktober ini.

Ketika ditanya sama ada berlaku isu ‘counter setting’ di lapangan terbang lain selain KLIA Terminal 1 dan 2, Azam berkata perkara itu dalam siasatan.

“Sebenarnya kes ini (counter setting) berlaku di kedua-dua KLIA1 dan KLIA2, jadi ini kes yang kita siasat.

“Pemantauan sedang dibuat secara berterusan oleh pegawai-pegawai saya baik di KLIA1 dan di KLIA2. Di lapangan terbang lain belum lagi, tetapi yang besar dan kita bincangkan adalah di dua lapangan terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN