SANDAKAN: Sejumlah 4,809 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar melalui pengangkutan laut dan udara dari Sabah setakat bulan ini.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, setakat ini seramai 4,809 warga asing termasuk 3,118 tahanan warga Filipina dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui pengangkutan laut dan udara.
Menurut beliau, penghantaran pulang melibatkan 652 orang PATI warga Filipina termasuk 53 kanak-kanak semalam adalah yang terbaharu.
“Purata umur bagi tahanan yang terlibat pemindahan kali ini antara dua bulan sehingga 76 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu/bapa dan penjaga masing-masing melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia dari Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
“PATI yang terlibat adalah tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kata beliau, kekerapan program pemindahan tahanan warga Filipina yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah juga adalah tertakluk kerjasama dengan pihak kedutaan Filipina dalam mempercepatkan proses dokumentasi untuk dihantar puang.
Katanya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selaras dengan dasar serta perundangan yang berkuat kuasa. – UTUSAN