KINABATANGAN: Seramai 282 orang penduduk tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan 44 buah rumah di Kampung Penangah Tongod, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, kesemua rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal di kawasan seluas 1.21 hektar itu telah musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden kebakaran itu kira-kira pukul 7.24 malam dan sepasukan sembilan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 174 kilometer dari BBP.
Jentera bomba tiba di lokasi kira-kira pukul 11.33 malam dan mendapati kebakaran telah merebak dan memusnahkan 44 buah rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal.
“Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. Selain rumah, terdapat sebuah kenderaan turut musnah dalam kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran turut dibantu oleh pasukan bomba dari BBP Beluran dan pasukan Bomba Sukarela dari Kampung Saguan Kuayup.
Operasi pemadaman api terkawal pada pukul 2.30 pagi dan operasi tamat pada pukul 7.10 pagi tadi. – UTUSAN