430,000 peminjam tidak pernah bayar hutang PTPTN berjumlah RM6 bilion - Utusan Malaysia

430,000 peminjam tidak pernah bayar hutang PTPTN berjumlah RM6 bilion

ZAMBRY Abd. Kadir (kiri) beramah mesra dengan bakal mahasiswa IPTA yang menerima Wang Pendahuluan Pinjaman di Seri Manjung, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kira-kira 430,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah menamatkan pengajian di institut pendidikan tinggi (IPT), dikesan tidak pernah membayar pinjaman mereka dengan jumlah terkumpul sehingga kini mencecah RM6 bilion.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, mendedahkan ada kalangan mereka yang telah menamatkan pengajian sejak berpuluh tahun lalu, tetapi tidak pernah membayar kembali pinjaman tersebut walau sesen pun dengan jumlah itu sentiasa meningkat setiap tahun.

Sehubungan itu, tegas beliau, pihak PTPTN akan mengambil tindakan susulan terhadap mereka dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang bersesuaian terhadap peminjam terlibat.

Jelasnya, kementerian tersebut telah membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kerajaan termasuk dalam mesyuarat Kabinet mengenai tindakan susulan tersebut dan akan diumumkan oleh pihak PTPTN nanti.

“Pendekatan kita bagaimanapun tetap secara berhemah dan peminjam juga perlu ada tanggungjawab moral untuk membayar hutang mereka.

“Kita memahami (jika mereka susah), (jadi) minta mereka datang (ke pejabat PTPTN) untuk menceritakan apa masalah, keadaan dan kesusahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN peringkat daerah Manjung di Seri Manjung, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Menurut Zambry, kerajaan menerusi PTPTN sedia berbincang dengan peminjam terlibat mengenai kadar bayaran bulanan yang mereka mampu bayar berdasarkan situasi kehidupan masing-masing.

Katanya, bayaran wang pinjaman itu bukan untuk kegunaan kerajaan tetapi akan digunakan untuk membiayai pendidikan pelajar IPT lain pula.

Dalam pada itu, mana-mana pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), dibenarkan untuk mendaftar lewat sehari iaitu pada 29 September ini.

Beliau memberitahu, ia sebagai menghormati hak mereka sebagai pengundi untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut pada 28 September ini.

Jelas beliau, sebahagian besar IPTA mengadakan pendaftaran masuk ke asrama pada 28 September ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan seramai 26,534 pelajar peringkat ijazah sarjana muda IPTA bagi sesi Oktober tahun ini, ditawarkan WPP yang melibatkan peruntukan RM39.8 juta.

Menurutnya, sejak WPP diperkenalkan pada 1999 sehingga 31 Ogos tahun ini, seramai 980,120 pelajar telah menerima manfaat dengan peruntukan RM1.45 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya