PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan pengurusan tertinggi termasuk Pengarah Eksekutif GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) dalam masa terdekat ini.
Keterangan kesemua individu itu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan syarikat itu terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak termasuk diajar meliwat.
Bagaimanapun, tiada pengesahan lanjut sama ada kesemua mereka ini akan akan ditahan atau tidak.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut kes itu masih berjalan dan kesemua 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang diselamatkan kini berada dalam jagaan pihak polis.
Kata beliau, tahap keselamatan kanak-kanak ini dijamin selamat di bawah pemantauan polis dengan bantuan dari agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Buat masa ini, kanak-kanak ini berada di bawah pemantauan kita (polis) untuk disaring pemeriksaan kesihatan mereka selain membuat dokumentasi.
“Proses ini sudah semestinya mengambil masa yang lama di antara tujuh sehingga 12 hari kerana jumlah mereka yang diselamatkan terlalu ramai dan perlu dilakukan satu per satu mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Jadi, beri kami (polis) masa untuk selesaikan proses ini dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil bagi memastikan kanak-kanak in ini benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, siasatan mengenai GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB) masih dijalankan pelbagai sudut dan sudah pasti tidak terhenti di sini.
Beliau berkata, kesemua 171 individu terdiri penjaga, guru agama serta pengerusi kesemua rumah amal yang beroperasi di Hulu Selangor, Klang Utara, Shah Alam, Sepang, Kajang, Petaling Jaya, Subang Jaya ini telah direman bagi membantu siasatan.
“Kesemua mereka direman bagi siasatan lanjut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.
“Soal siasat masih berjalan ketika ini,” jelasnya. – UTUSAN