TUMPAT: Lebih 4,000 orang penduduk di gugusan Kepulauan Tumpat di sini menikmati barang kawalan pada harga subsidi menerusi Program Penyeragaman Harga Barang Perlu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, pelaksanaan itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup dan perbelanjaan barangan keperluan serta asas yang terpaksa ditanggung penduduk di pulau-pulau sekitar Tumpat.
Menurutnya, sebelum ini penduduk perlu membayar sepeket minyak masak pada harga RM3.50 manakala seliter petrol RM3.50.
“Masalah utama dihadapi penduduk di sini adalah pengangkutan yang mana bot menjadi kenderaan utama untuk menghubungkan mereka dengan tanah besar.
“Majoriti bot di sini adalah pengangkutan peribadi dan tidak layak mendapat subsidi petrol. Sebab itu mereka terpaksa membayar lebih untuk barangan keperluan serta bahan-bahan asas,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran program Penyeragaman Harga Barang Perlu, LPG dan Community Drumming Zon Tumpat di Pulau Sri Tanjung di sini, hari ini.
Azman memberitahu, bagi melaksanakan tersebut, kerajaan melantik transporter (pengangkut) untuk membeli bekalan daripada pembekal, menguruskan punca bekalan dan menghantar serta menjual bekalan tersebut ke lokasi jualan (POS) di kawasan pengedaran.
Katanya, POS akan menjual bekalan tersebut pada harga ditetapkan dan kerajaan menanggung kos pengangkutan transporter.
“Program ini juga sangat relevan dengan Tahun Melawat Kelantan 2024 kerana empat pulau ini merupakan antara tarikan pelancong di Kelantan dan tumpuan orang ramai pada setiap hujung minggu,” ujarnya. – UTUSAN