4 termasuk dua wanita ditahan selepas langgar MPV polis

4 termasuk dua wanita ditahan selepas langgar MPV polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis menahan empat individu termasuk dua wanita yang melarikan diri selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar kereta peronda polis (MPV) di Jalan Teratai, Taman Bukit Teratai, Ampang dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, polis menerima maklumat terdapat beberapa individu dalam keadaan mencurigakan telah menarik kabel disyaki untuk dicuri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kesemua suspek yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis.

“Kenderaan suspek tersebut bertindak mengundur lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan MPV dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, pihaknya telah mengejar kenderaan dinaiki suspek sejauh 200 meter, sebelum kenderaan itu melanggar pembahagi jalan di persimpangan masuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan hilang jejak.

Beliau berkata, polis bagaimanapun berjaya memberkas kesemua suspek berusia 21 hingga 32 tahun di sekitar kawasan Kajang, pada keesokan hari.

“Kita turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat di dalam kejadian tersebut dan beberapa alatan memotong kabel.

“Semakan lanjut dua suspek mempunyai rekod lampau dan kesemua suspek telah direman selama empat hari,” ujarnya.

Tambah beliau, dua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kabel, manakala dua lagi telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan merujuk kepada menghalang penjawat awam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN