4 pemain berentap di Cabaran Golf Korporat Dunia 2024 di Hainan

Empat pemain golf amatur bakal berentap di kejohanan akhir Cabaran Golf Korporat Dunia 2024 di Hainan

SHOBAN Ramlu (kiri) bergambar bersama Anushka Gayan (dua, kiri) dan Ang Khai Phang (dua, kanan) selepas sidang akhbar di Kelab Golf Templer Park, Rawang, kelmarin. Turut hadir Pengurus Besar Kelab Golf Templer Park, Datuk Manibalan Kutty.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT pemain golf amatur negara ini bakal berentap di kejohanan akhir Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) 2024 yang akan berlangsung di Kelab Golf Mission Hills Haikou, Hainan, China pada 28 Oktober hingga 1 November ini.

Mereka ialah Anushka Gayan (handikap 6), Kong Tuck Keat (handicap 10), Lee Robert (handicap 11) dan Ang Khai Phang (handicap 14) yang bakal berentap dengan 116 pemain dari 29 negara luar iaitu Angola, Brazil, Chile, China, Colombia, Republik Czech, Republik Dominican, England, Ghana, India, Itali, Jepun, Mauritus dan Mauritius.

Selain itu New Zealand, Nigeria, Norway, Pakistan, Filipina, Poland, Portugal, Scotland, Singapura, Slovakia, Afrika Selatan, Sepanyol, Sweden, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ukraine.

Kesemua pemain akan berentap di lapangan Blackstone yang dianugerahkan sebagai lapangan kejohanan terbaik Asia dan menjadi lokasi tahunan bagi Kejohanan Golf Wanita Dunia dan dwitahunan bagi kejohanan Pro-Am Selebriti Dunia.

Pengarah Urusan Elora Global Sdn. Bhd., Shoban Ramlu berkata, beliau berterima kasih kepada empat pemain ini yang sanggup menawarkan diri mewakili Malaysia ke kejohanan final akhir dunia WCGC di Hainan.

“Tahun ini saya tidak sempat untuk mengadakan beberapa siri pusingan kelayakan kerana kesuntukan masa. Oleh itu, saya berterima kasih dan amat menghargai inisiatif mereka sendiri yang sanggup mewakili negara ke China. Saya harap mereka lakukan yang terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia golf korporat.

“Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak penaja seperti Skechers Malaysia, Bridgestone Golf, Kelab Golf Templer Park, Spectrum Outdoor, Iroas dan ANC textiles yang sudi menghulurkan sumbangan ikhlas sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Hainan nanti,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kelab Golf Templer Park, Rawang, kelmarin.

Syarikat Elora Global Sdn. Bhd. diberi kepercayaan dan dilantik oleh pihak pengurusan WCGC yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol untuk menganjurkan kembali kejohanan golf korporat berprestij itu yang pernah diadakan di negara ini tidak lama dahulu.

Sementara itu, dua pemain yang ditemui, Anushka Gayan dan Ang Khai Phang masing-masing memberi jaminan akan bermain sebaik mungkin untuk mengharumkan nama negara di Hainan nanti.

“Saya sedar ramai pemain amatur dari negara-negara luar yang hebat dan bagus. Namun saya akan cuba bermain sebaik mungkin untuk memberi saingan,” ujar Anushka.

“Adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka pemain negara mana yang akan muncul juara nanti kerana terdapat 120 pemain yang boleh dikatakan semuanya cemerlang kerana dapat mewakili negara masing-masing. Tetapi saya juga seperti Anushka akan bermain bersungguh-sungguh untuk cuba memenangi kejohanan itu nanti,” tambah Khai Pang.

Kejohanan akhir dunia WCGC ini menggunakan format stableford berpasukan (dua pemain) yang akan menggabung pungutan mata dua hari kejohanan.

WCGC mula diperkenalkan pada tahun 1993 sebagai program golf korporat UK dengan kerjasama The Times Newspaper, WCGC telah berkembang menjadi acara rangkaian antarabangsa yang dipromosikan dan dikendalikan oleh pemegang lesen di seluruh dunia.

Justeru itu, WCGC menawarkan platform yang tiada tandingan untuk pembangunan perniagaan, sama ada melalui hiburan pelanggan, pekerja insentif atau memupuk hubungan perniagaan melalui golf.

Dengan slogan ‘Membawa Dunia Perniagaan Bersama-sama’, WCGC terus berkembang pesat dan Malaysia akan mendapat manfaat yang ketara daripada impaknya terhadap landskap korporat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya