39 lagi rumah amal dikaitkan GISBH dalam radar polis

39 lagi rumah amal dikaitkan GISBH dalam radar polis

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kira-kira 39 lagi rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di seluruh negara dalam radar pemantauan agensi itu.

Mengesahkan perkara itu kepada media, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tidak menolak kemungkinan terdapat tindakan lanjut akan diambil selepas siasatan.

Beliau menegaskan, fasa kedua siasatan yang dilakukan pihaknya termasuk serbuan ke atas 20 rumah amal baru-baru ini adalah hasil pemantauan PDRM berhubung dakwaan ini selama enam bulan.

“Kita telah menyiasat syarikat itu sejak 2011 selain pernah bertemu wakil dari Pusat Penyelidikan Ajaran Sesat (Pukas) walaupun sebelum dakwaan mengenai GISBH tular di media social baru-baru ini.

“Mereka antara yang memberikan kami maklumat awal yang memudahkan kami melihat dan teliti semula berasaskan laporan yang dibuat terhadap GISBH sebelum ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan juga berpandu kepada satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli GISBH dari Negeri Sembilan yang kemudian ditarik balik.

“Wanita itu kemudian membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak.

“Seksyen itu menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak tetapi meninggalkan, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak tersebut kepada bahaya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal atau emosi,” jelasnya.

Razarudin berkata, maklumat diperoleh memberi petunjuk yang boleh dipercayai dan boleh diambil tindakan.

“Berpandu maklumat itu juga membolehkan polis memulakan fasa pertama “Op Global” dengan bantuan Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Mereka mula mengumpul risikan untuk meneliti kes ini. Malah, saya juga ada menghadiri mesyuarat dengan wakil Cawangan Khas dan CID dan diberi taklimat mengenai penemuan mereka dua hari sebelum serbuan ke atas rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN