33 kes keracunan makanan di Terengganu - Utusan Malaysia

33 kes keracunan makanan di Terengganu

KASEMANI Embong (kiri) melawat pameran sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 di Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan sebanyak 33 kes keracunan makanan di seluruh negeri sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 19 episod keracunan yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, antara faktor yang menjadi punca berlakunya kes keracunan makanan adalah penyimpanan bahan mentah tidak selamat, proses pengendalian makanan tidak bersih dan tempoh penyimpanan tidak sepatutnya.

“Selain itu, makanan yang terdedah atau tidak ditutup sempurna dan masakan yang tidak dimasak sepenuhnya juga boleh menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan.

“Justeru, jabatan berharap semua penyedia makanan lebih berhati-hati untuk memastikan sistem keselamatan makanan sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2024 Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua kes keracunan makanan itu bagaimanapun masih terkawal di Terengganu dan pihaknya akan meningkatkan pemantauan terutama di lokasi-lokasi tertentu seperti di sekolah berasrama dan yang melibatkan kepentingan awam.

Tambahnya, bagi mengatasi risiko keselamatan makanan di luar jangka, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan juga telah menawarkan beberapa skim pensijilan untuk pengusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

“Antaranya, ialah sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).

“Pensijilan ini akan mengukuhkan lagi kepercayaan masyarakat kepada pengusaha makanan dan membantu mereka untuk lebih berdaya saing dan berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN