LABUAN: Lebih 300 sukarelawan dari badan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersihkan serta mengindahkan Pulau Rusukan Besar di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail berkata, program tersebut merupakan kerjasama strategik melibatkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).
Menurutnya, program CSR itu dilaksanakan menerusi tiga siri iaitu pada 8 September lalu, hari ini dan dari 27 hingga 28 September nanti.
“Siri kedua pada hari ini melibatkan 70 sukarelawan bagi kerja-kerja pembaikan struktur dan pembersihan pulau secara menyeluruh. Ini termasuk kerja-kerja membaiki fasiliti sedia ada seperti anjung tinjau, jeti, tandas, ruang makan dan melukis mural hiasan,” katanya di sini hari ini.
Selain agensi kerajaan, pelaksanaan aktiviti itu turut membabitkan ahli-ahli Kelab Media Putrajaya (KMP) dan pelajar Kolej Matrikulasi Labuan serta Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. – UTUSAN