30 rumah amal GISBH akan diambil tindakan - Utusan Malaysia

30 rumah amal GISBH akan diambil tindakan

MOHAMMAD FAHMI NGAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri meletakkan 30 rumah amal di bawah kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISB) dalam pemantauan rapat.

Pemantauan sama trutu dibuat terhadap ahli jawatankuasa (AJK) masjid dari dalam kalangan pengikutnya dekat sebuah masjid di Rawang serta Surau Al-Ikhwan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, beliau akan mendengar taklimat berhubung profil terhadap 30 rumah amal tersebut serta dakwaan lantikan AJK masjid.

“Saya juga akan mendengar taklimat tentang profil 30 rumah amal di bawah GISBH di Selangor yang dilaporkan oleh JAIS kepada saya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang membantu melengkapkan keperluan kes melibatkan pimpinan atasan dan beberapa kegiatan individu lain mengikut Seksyen 7,8,10,12,13 dan 106 enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

“Penyegeraan tindakan susulan ke atas GISBH daripada siasatan hasil kerjasama orang awam, agensi-agensi agama Negeri dan agensi penguatkuasaan Persekutuan amat kritikal pada saat ini.

“Pihak JAIS akan membentangkan laporan penuh kepada saya pada minggu hadapan mengenai tindakan-tindakan yang telah, dan akan diambil selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” tegasnya.

Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan kesemua agensi pihak berkuasa agama Islam negeri ini bekerjasama dengan polis bagi menyiasat secara mendalam isu berkaitan GISBH serta memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah dilakukan mereka supaya didakwa di mahkamah.

Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kesal dan kecewa kerana isu tersebut berlanjutan dalam tempoh yang lama, namun tiada tindakan berkesan bagi menanganinya sekali gus menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi memaklumkan beliau menjunjung keprihatinan baginda mengenai tindakan-tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa negeri dan Persekutuan dalam isu GISBH, terutama melibatkan kebajikan kanak-kanak dan wanita selain isu-isu berkaitan Islam.

“Saya berharap agar umat Islam dalam situasi ini dapat membantu pihak berkuasa, bukannya saling menuding jari yang tidak memberi nilai tambah kepada keberkesanan tindakan agensi-agensi terlibat.

“Saya berharap umat Islam di Selangor yang mempunyai maklumat tampil ke JAIS untuk membuat aduan segera. Teruslah berwaspada dan berhati-hati dengan penampilan pakaian, kepetahan bersyarah dan penyebaran doktrin atas nama agama, kerana jelas terbukti ada kalangan mereka yang memanfaatkannya untuk kepentingan peribadi dan kelompok tertentu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, orang ramai diharap memberi sokongan penuh kepada agensi-agensi berkuasa Selangor dan Persekutuan yang sedang giat menjalankan siasatan dan penguatkuasaan terhadap isu GISBH demi menjamin kebajikan umat Islam dan kesucian agama Islam di negeri dan negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN