26 warga asing tidak miliki permit perjalanan sah ditahan di Pulau Perhentian - Utusan Malaysia

26 warga asing tidak miliki permit perjalanan sah ditahan di Pulau Perhentian

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang tidak memiliki permit perjalanan sah ditahan dalam operasi khas di Pulau Perhentian, Besut, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 26 warga asing disyaki tidak memiliki permit perjalanan yang sah dalam operasi khas di Pulau Perhentian, Besut, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, warga asing itu terdiri daripada 13 warga Bangladesh, enam warga Myanmar, dua warga Pakistan dan seorang dari Nepal.

Menurut Ruslin, tiga wanita Thailand yang menawarkan perkhidmatan spa dan seorang wanita Indonesia yang bekerja di pulau peranginan itu sejak awal tahun ini turut ditahan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati daripada jumlah itu hanya tiga warga Bangladesh, dua warga Pakistan dan tiga wanita Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial (PSL) yang sah.

“Operasi ini dibuat bersama Jabatan Perikanan Terengganu setelah melakukan risikan sejak dua minggu lalu dan kesemua warga asing yang ditahan berusia 22 sehingga 50 tahun.

“Walaupun ada cubaan daripada mereka untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pegawai dan anggota penguatkuasa berjaya mematahkan usaha itu.

“Kebanyakan warga asing yang ditahan menawarkan perkhidmatan teksi air dan spa, selain bekerja pengawal keselamatan di resort sejak sembilan bulan yang lalu,” katanya, hari ini.

Beliau memberitahu, semua warga asing kini ditahan di Depot Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39b Peraturan Imigresen 1963.

Tambah Ruslin, dua lelaki tempatan juga telah diarahkan hadir ke JIM negeri bagi membantu siasatan dan pihaknya akan terus mengesan majikan yang menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah.

“JIM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN