26 rumah terjejas banjir kilat di Kuala Nerang - Utusan Malaysia

26 rumah terjejas banjir kilat di Kuala Nerang

BANJIR kilat yang melanda Kampung Pisang di Kuala Nerang, Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Tiga buah kampung di Kuala Nerang, di sini mengalami banjir kilat susulan hujan lebat dilaporkan selama lebih dua jam malam tadi.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Pisang; Kampung Tanjung Kiri dan Kampung Tanjung Kanan yang membabitkan kira-kira 26 buah rumah penduduk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, PPgB Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya membantu memindahkan 21 penduduk di Kampung Tanjung Kanan yang berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat itu.

“Kesemua penduduk terperangkap selepas jalan keluar dinaiki air dengan cepat. Operasi menyelamat menggunakan sebuah bot dan mangsa dipindahkan sementara ke Masjid Kampung Tanjung Kanan.

“Operasi turut dibantu Polis Daerah Padang Terap serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap yang dilakukan sejak malam tadi hingga kira-kira pukul 3 pagi ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, seramai 48 mangsa terdiri daripada 14 keluarga di Kampung Pisang dan Kampung Tanjung Kiri yang terjejas telah ditempatkan sementara di Masjid Kampung Tanjung Kiri.

“Bagaimanapun, penempatan itu telah ditutup sepenuhnya pada pukul 1 pagi tadi setelah banjir surut,” katanya

Dalam pada itu, beberapa video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan kawasan premis perniagaan di Pekan Kuala Nerang dilaporkan ditenggelami air, termasuk pekarangan Hospital Kuala Nerang.

Rata-rata penduduk menyatakan, banjir kilat itu menyebabkan air naik antara 0.3 hingga 0.5 meter di kawasan rendah, namun kembali surut tidak lama kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN