2,575 panggilan pokok tumbang seluruh negara, Selangor tertinggi

2,575 panggilan pokok tumbang seluruh negara, Selangor tertinggi

Cuaca tidak menentu, ribut dan angin kencang meningkatkan risiko pokok tumbang dan dahan patah. -IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 2,575 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara sepanjang Januari hingga Julai lalu.

Dalam tempoh itu, negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi apabila sebanyak 441 kes direkodkan diikuti Perak (321 kes) dan Sarawak sebanyak 264 kes.

Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dalam kenyataan berkata, daripada jumlah kes tersebut, seramai lapan mangsa meninggal dunia manakala cedera (27 orang) dan diselamatkan (37 orang).

“JBPM sentiasa cakna dan menguar-uarkan info keselamatan, memberi kesedaran dan pendidikan awam berkaitan langkah-langkah menghadapi musim panas dan hujan. 

“Pada masa kini negara berhadapan dengan cuaca yang semakin tidak menentu dengan hujan lebat dan ribut melanda tanpa diduga selain angin kencang boleh meningkatkan risiko berlakunya kejadian pokok tumbang dan dahan patah,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, orang ramai terutama pengguna jalan raya perlu berwaspada apabila menggunakan jalan raya yang ditanam dengan pokok-pokok besar atau berusia memandangkan kebanyakan kejadian pokok tumbang melibatkan pokok yang ditanam di tepi atau bahu jalan.

“Pemandu kenderaan perlu memberi perhatian kepada keadaan sekeliling terutama sewaktu hujan, sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku.

“Jangan panik, matikan enjin kenderaan dahulu dan mohon bantuan daripada orang yang terdekat serta menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan,” jelas kenyataan itu.

Untuk rekod, sebanyak 4,825 panggilan kecemasan melibatkan kejadian pokok tumbang di seluruh negara telah diterima pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, JBPM merekodkan 10 kematian diikuti cedera (47 orang) dan diselamatkan  (77 orang).

Dalam perkembangan lain, kajian JBPM menerusi MetMalaysia mendapati Monsun Barat Daya yang telah bermula pada 17 Mei lalu dijangkakan berterusan sehingga September ini. 

Kata kenyataan itu, lazimnya, semasa Monsun Barat Daya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil. 

“Keadaan ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah. 

“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di rantau negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak,” katanya.

Walau bagaimanapun, hujan lebat beserta angin kencang, ribut petir dan pembentukan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di sekitar Pantai Barat Semenanjung, Utara Sarawak dan Barat Sabah terutamanya pada awal pagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN