24,000 ahli al-Quran bakal berhimpun Himpunan 24K Huffaz Malaysia

24,000 ahli al-Quran bakal berhimpun Himpunan 24K Huffaz Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 24,000 huffaz bakal melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran pada Himpunan 24K Huffaz Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, esok.

Majlis itu menghimpunkan 24,000 ahli al-Quran terdiri daripada pelajar tahfiz, guru tahfiz dan alim ulama dari 1,500 buah madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) seluruh negara.

Pengerusi Pertubuhan Agamawan Muda Malaysia, Afif Farhi Othman berkata, himpunan itu dianggap bersejarah kerana ia menyatukan para huffaz dari seluruh pelusuk negara.

Beliau berkata, himpunan ini dicetuskan semula oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu meletakkan agenda pengislahan generasi masa hadapan dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting.

“Himpunan bertemakan ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’ itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucaptama serta berkongsi aspirasi kerajaan Madani dalam memartabatkan institusi tahfiz dan memperkasakan peranan huffaz sebagai tonggak utama pembangunan negara bangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, objektif utama Himpunan 24K Huffaz adalah untuk memartabatkan al-Quran dalam kalangan masyarakat dan mencipta platform yang mampu mengukuhkan silaturahim antara para huffaz di seluruh negara.

Afif Farhi berkata, program ini juga memberikan peluang kepada huffaz untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, serta menerima pengiktirafan sebagai penjaga al-Quran yang mempunyai peranan penting dalam masyarakat.

Menurutnya, dengan pengiktirafan ini, para huffaz diharap dapat menyumbang secara positif kepada pembangunan sosial.

“Himpunan 24K Huffaz juga akan menyaksikan pelancaran Waqaf Al-Quran Mushaf Huffaz, di mana sebanyak 24,000 naskhah mushaf akan diedarkan kepada para huffaz.

“Inisiatif waqaf ini adalah satu sumbangan penting dalam usaha memudahkan hafalan al-Quran dan pada masa sama, membina pahala jariah yang berpanjangan,” katanya.

Katanya, Himpunan 24K Huffaz bukan sahaja akan menjadi satu simbol perpaduan, tetapi juga satu langkah besar dalam usaha mengukuhkan peranan institusi tahfiz sebagai tonggak utama dalam pembangunan modal insan negara.

Himpunan ini dianjurkan dengan kerjasama antara PINTA Kebangsaan, Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim);dan Majlis TVET Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya