2,201 mangsa banjir di Kedah, lapan sungai melepasi tahap bahaya - Utusan Malaysia

2,201 mangsa banjir di Kedah, lapan sungai melepasi tahap bahaya

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan tinjauan kawasan yang dinaiki air akibat banjir di Kampung Padang Luar, Kubang Pasu. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir di Kedah terus menunjukkan peningkatan apabila 2,201 penduduk terjejas setakat pukul 8.30 pagi ini berbanding 2,043 yang dilaporkan sehingga pukul 11 malam tadi.

Mereka merupakan mangsa di enam daerah terjejas yang melibatkan 390 keluarga dengan kini berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, daerah Pokok Sena terus merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,000 orang daripada 173 keluarga.

“Mangsa-mangsa kini ditempatkan di PPS Maahad Tarbiah Islamiyah Derang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau. Sementara 678 mangsa di Pendang sedang berlindung di PPS Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah.

“Kubang Pasu pula merekodkan 301 mangsa daripada 99 keluarga diikuti Kulim (108); Kuala Muda (61) dan Kota Setar (53). Terdapat lapan PPS diaktifkan di empat daerah itu setakat ini,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, paras air di lapan sungai di negeri ini terus melepasi tahap bahaya setakat pukul 7 pagi tadi dengan tujuh daripadanya menunjukkan trend menaik.

Semakan di laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati, tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Terap di Kepala Batas mencatatkan bacaan 4.21 meter (m) yang melepasi tahap bahaya 3.8m.

Sungai Bata di Kampung Bata pula merekodkan bacaan 9.39m melebihi 9.14m, manakala bacaan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir adalah 22.95m melebihi 21.6 m.

Sementara itu di Kota Setar, Sungai Anak Bukit di Taman Aman mencatatkan bacaan 3.19m melepasi 2.6m dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR menunjukkan bacaan 1.94m yang sudah melepasi 1.7m.

Sungai Titi Kerbau, Kubur Panjang di daerah Pendang pula mencatatkan bacaan aras air 6.36m melepasi 6.3m, manakala Sungai Perik di Kampung Perik di daerah Padang Terap pula mencatatkan bacaan 14.83m yang melepasi 14.2m.

Sungai Gurun di Kampung Perupok di daerah Yan Pula mencatatkan bacaan 3.68m dan melepasi paras bahaya 3.5m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN