2,000 penduduk dapat manfaat projek jalan Sungai Pergam - Utusan Malaysia

2,000 penduduk dapat manfaat projek jalan Sungai Pergam

AHMAD Zahid Hamidi mengendalikan jentolak ketika melakukan pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan utama Parit 1 - Parit 10 Kampung Sungai Pergam di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Sungai Pergam dan Sungai Dulang di sini, bakal mendapat manfaat apabila projek membina dan menaik taraf jalan utama kampung tersebut bernilai RM88 juta dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek jalan melibatkan laluan utama Parit 1 hingga Parit 10 di Kampung Sungai Pergam menghubungkan jalan Persekutuan Bagan Datuk, telah diluluskan tahun lalu di bawah Rolling Plan Ke-3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan dijangka siap pada 29 Ogos 2028.

Menurutnya, projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang empat kilometer (km) dan membina jalan baharu sepanjang 2.5 km yang akan menghubungkan jalan utama Kampung Sungai Pergam sehingga ke Jalan Persekutuan Bagan Datuk.

“Projek ini telah diminta oleh penduduk sejak 1995 lagi kerana jalan di kampung itu sempit dan kereta tidak boleh berselisih terutama ketika musim perayaan apabila ramai perantau pulang ke kampung,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut di sini hari ini.

Menteri KKDW itu menjelaskan apabila siap nanti, penduduk hanya mengambil masa kira-kira lima minit ke pekan Bagan Datuk, berbanding sekarang lebih 10 minit untuk ke pekan tersebut.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu, ia kerana jalan baharu tersebut terletak berhampiran dengan persimpangan ke Jambatan Sultan Nazrin Shah sekali gus turut memudahkan perjalanan penduduk ke utara Perak.

Katanya, jalan baharu itu juga akan membolehkan kegiatan ekonomi di kawasan Sungai Pergam dan Sungai Dulang menjadi semakin rancak dan perhubungan seharian penduduk menjadi bertambah baik.

Dalam pada itu, jelasnya, projek menaik taraf jambatan sempit di Simpang Masjid Al-Quro’, pekan Bagan Datuk juga telah diluluskan tahun lalu di bawah Rolling Plan Ke-3 RMKe-12 dengan kos pembinaan sebanyak RM2.9 juta.

“Projek ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan sedia ada yang sempit kepada dua lorong sepanjang 114 meter.

“Jambatan ini berada di persimpangan utama pekan Bagan Datuk yang menghubungkan Kampung Pasang Api dan kawasan berhampiran ke laluan utama Jalan Persekutuan dan dijangka siap pada 5 Ogos 2026,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya