1BestariNet: Siasatan terhadap YTL dibuat berdasar laporan Jawatankuasa Siasatan, PAC 

1BestariNet: Siasatan terhadap YTL dibuat berdasar laporan Jawatankuasa Siasatan, PAC 

SPRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, siasatan terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan bernilai RM4.07 bilion berdasarkan maklumat menerusi laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Ogos lalu. 

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, selain itu, siasatan turut dilakukan berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, hasil dua laporan tersebut mendedahkan terdapat beberapa kelemahan antaranya aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.

“Terdapat juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek ini yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisien. 

“Justeru, ditegaskan siasatan SPRM ini adalah berdasarkan aduan yang diterima melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009,” katanya hari ini. 

Selain itu, SPRM berkata, berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.

Jelasnya, walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara itu.

“Sehingga kini, siasatan mendapati kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan namun maklumat tuntutan tersebut belum dapat disahkan oleh kerajaan selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh lima tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.

“Justeru itu, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya yang melibatkan peruntukkan dana kerajaaan untuk pembangunan negara,” katanya. 

Sehubungan itu, SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini kerana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seharusnya tidak boleh dikompromi.

Tegasnya, siasatan yang dijalankan adalah bersifat telus, adil dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN