PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan 19 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan isterinya awal pagi ini bagi siasatan susulan serbuan 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada 10 September lalu.
Razarudin memberitahu Utusan Malaysia, kesemua individu berkenaan termasuk CEO GISBH dan isterinya ditahan kira-kira pukul 5.40 pagi tadi selepas menyerbu empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Ya, kita tahan mereka awal pagi ini,” kata beliau ketika dihubungi.
Dalam perkembangan sama, satu jemputan media memaklumkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan melaksanakan permohonan reman ke atas semua individu berkenaan di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor petang ini.
“Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret 3, Shah Alam pukul 3 petang ini bagi permohonan reman,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, lima termasuk anak kepada pemimpin tertinggi GISBH direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap kesemua mereka berusia 30 sehingga 41 tahun itu dilakukan sebaik permohonan dibuat polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini. –UTUSAN