1,869 anggota, pegawai PDRM diambil tindakan tatatertib, 175 dibuang kerja - Utusan Malaysia

1,869 anggota, pegawai PDRM diambil tindakan tatatertib, 175 dibuang kerja

Ayob Khan Mydin Pitchay (tengah) bersama barisan kepimpinan SUKSIS Universiti Awam dan pelatih pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam ke-20 2024 di Dataran Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI:  Seramai 1,869 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan sepanjang 2023 hingga Ogos lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 175 anggota dan pegawai dikenakan tindakan buang kerja yang melibatkan pelbagai kesalahan antaranya pemerasan, penyalahgunaan dadah dan terbabit dengan sindiket.

“Kita sentiasa memantau penglibatan pegawai dan anggota yang ada kaitan dengan aktiviti salah laku sebagai langkah pemerkasaan dan pematuhan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan ini konsisten dan berterusan sebagai pelan intervensi jangka pendek dan panjang dalam menangani salah laku membabitkan warga PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan dan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswi Universiti Awam ke -20 Tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini. 

Ayob Khan berkata, antara langkah yang diambil untuk menangani isu salah laku itu, pihaknya melaksanakan ikrar bebas rasuah, ujian integriti dan pematuhan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah.

Selain itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman turut membuat pemeriksaan di lapangan dan tindakan terhadap penyelia yang gagal menyelia anggota seliannya di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Setakat ini, 50 penyelia telah diambil tindakan di bawah peraturan itu selain kita membuat profiling terhadap anggota dan pegawai yang hidup mewah,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 840 pelatih dari 17 universiti awam menamatkan latihan kepolisan Kor Suksis selepas menjalani latihan selama tiga tahun atau enam semester yang melibatkan 672 jam secara keseluruhan mengikut sukatan latihan yang diselaras dan ditetapkan semua universiti awam.

Ayob Khan berkata, sejak penubuhan Suksis pada 2002, seramai 19,072 graduan berjaya menamatkan latihan dengan 1205 daripadanya menyertai PDRM sebagai kadet inspektor.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN