186 termasuk kanak-kanak dirotan ahli GISBH diselamatkan, jumpa risalah bercanggah Islam

186 termasuk kanak-kanak dirotan ahli GISBH diselamatkan, jumpa risalah bercanggah Islam

Antara risalah mengandungi elemen-elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam yang dirampas polis dalam Op Global fasa 4 membabitkan kepentingan GISBH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 186 individu diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Global fasa ke-4 yang dilancarkan di seluruh negara bagi mengesan saki baki ahli yang terlibat dengan organisasi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Kesemua mereka yang diselamatkan terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial sedang dirotan seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

Lebih mengejutkan, menerusi operasi sama, PDRM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut merampas risalah-risalah mengandungi elemen-elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi pertama bagi fasa 4 ini turut menahan seramai 155 orang suspek terdiri 78 lelaki dan 77 wanita.

Beliau berkata, penahanan mereka dilakukan selepas pemeriksaan dilakukan di 82 premis dikaitkan dengan GISBH melibatkan rumah amal, klinik, premis perniagaan, maahad dan rumah persendirian.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke formasi masing-masing dan disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, melalui operasi dijalankan juga, PDRM mendapati beberapa premis yang diserbu telah kosong dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri.

Beliau berkata, PDRM menasihatkan mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membuat laporan polis di balai berhampiran bagi membolehkan PDRM melengkapkan siasatan kes secara tuntas dan menyeluruh.

“Operasi fasa 4 ini melibatkan kekuatan keseluruhan sebanyak 3,801 sumber manusia meliputi 2,528 pegawai dan anggota PDRM.

“Sebanyak 1,273 kakitangan kerajaan lain turut terlibat membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jakim, Jabatan Kimia, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN