KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti 18 lokasi panas di negeri ini yang berisiko berlakunya kejadian kepala air jika hujan lebat.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, lokasi itu melibatkan kawasan rekreasi dan air terjun di jajahan Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Machang serta Gua Musang.
“Di Pasir Puteh kawasan berisiko kepala air ialah Jeram Pasu dan Jeram Mengaji; Kuala Krai (Lata Rek, Lata Berangin, Sungai Durian, Air Terjun Istana Sangkut, Lata Chenulang, Lata Y, Lata Kertas dan Air Terjun Jelawang dan Dabong) serta Tanah Merah (Lata Hujan dan Lata Bijih).
“Jeli pula di Lata Janggut, Lata Keding, Lata Turbo dan Lata Kashmir; Machang di Air Terjun Bukit Bakar dan Jeram Linang manakala Gua Musang di Jeram Pelangi serta Renok,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini, semalam.
Zainal berkata, sebagai langkah persediaan, JBPM Kelantan menjalankan rondaan berkala di kawasan-kawasan berisiko yang menjadi tumpuan terutama pada musim cuti umum.
Katanya, pada masa sama, JBPM mempersiapkan latihan penyelamatan arus deras kepada anggota penyelamat atau dikenali Swiff Water Rescue. – UTUSAN