150,000 dijangka banjiri Dataran Merdeka saksi Festival Permainan Tradisional - Utusan Malaysia

150,000 dijangka banjiri Dataran Merdeka saksi Festival Permainan Tradisional

MOHD. AMRAN MOHD HARIS (dua kiri) dalam sidang akhbar Festivasl Permainan Tradisional di ibu negara baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dianggarkan 150,000 peminat dijangka membanjiri Dataran Merdeka di sini bagi menyaksikan Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur selama tiga bermula 13 hingga 15 September ini.

Festival tersebut yang telah memasuki sembilan tahun penganjurannya berjaya mengangkat permainan tradisional supaya lebih diminati bukan sahaja oleh rakyat tempatan tetapi juga pelancong asing.

Seramai 2,378 peserta terdiri daripada badan beruniform, sektor korporat dan institusi pengajian tinggi akan terlibat di dalam pertandingan permainan tradisional sempena festival ringkasnya FPM@KL 2024 .

Festival tersebut merupakan acara di bawah Kalendar Pelancongan Budaya yang diadakan setiap tahun bagi mengenengahkan keunikan seni budaya negeri.

Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Persatuan Sukan Tradisional Malaysia akan terus mengangkat permainan Malaysia sebagai teras bagi program ini dan disokong oleh pengisian lain untuk penglibatan masyarakat.

“Program yang telah memasuki sembilan tahun penganjurannya berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian menarik khas buat warga kota seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, citarasa warisan, pameran dan demonstrasi, persembahan seni budaya serta jualan, “ ujarnya dalam satu sidang akhbar di ibu negara baru-baru ini.

Kata beliau lagi, pada tahun ini FPM@KL turut menjadi salah satu pengisian utama bagi program Hari Malaysia 2024 bersama Festival Gendang dan Tari Antarabangsa dan Kuala Lumpur Cinta Rasul di bawah penyelarasan DBKL.

Intipati utama FPM@KL 2024 pula adalah pertandingan permainan tradisional di antara badan beruniform, sektor korporat dan juga institusi pengajian tinggi yang akan dikelolakan oleh Persatuan Sukan Tradisional Malaysia.

Sebanyak 910 orang mewakili badan beruniform, 1001 sektor korporat dan 728 mewakili institusi pengajian tinggi akan terlibat dalam pertandingan sukan tradisional iaitu tarik tali tradisional, galah panjang, tuju tin, batu seremban, sepak raga ratus, bola sepak kain sarung, kelereng, terompah gergasi, menyumpit dan memanah tradisional.

Dalam pada itu, sebanyak 10 pasukan bagi kategori badan beruniform menyertai FPM@KL 2024 terdiri daripada johan keseluruhan tahun 2023 iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pasukan lain adalah seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Majlis Sukan Angkatan Tentera, Perbadanan Putrajaya dan Angkatan Pertahanan Awam.

Beliau turut memberitau, sebanyak 11 penyertaan akan berentap bagi kategori korporat terdiri daripada Malaysia Airports Berhad, Keretapi Tanah Melayu Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, RHB Bank Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Negara Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Perkeso, Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Etiqa Takaful dan Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas.

“Pada tahun ini, terdapat satu kategori baharu yang diperkenalkan iaitu kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang melibatkan lapan IPT terlibat terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), , Universiti Malaya, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) , Help Universiti, Asia Pasifik Universiti, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, serta Management and Science University, “ ujarnya lagi.

Beliau berkata, selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, pengisian lain yang turut memeriahkan FPM@KL 2024 adalah Permainan Legenda Rakyat yang diselaraskan oleh Syarikat Guligeng melibatkan permainan seperti terompah gergasi, susun bata, kaki hantu, kereta sorong, lari dalam guni berkembar, tarik upih pinang, kelereng, tuju tin, bola beracun dan raja dijulang.

Selain itu, aktiviti seperti memanah tradisional interaktif dan menyumpit, pertandingan lastik dan baling damak (dat), pameran, jualan produk dan demonstrasi permainan dari Sabah dan Sarawak di Tamu@KL, demonstrasi permainan tradisi masyarakat Orang Asal iaitu kercang di bawah penyelarasan Jabatan Warisan Negara (JWN) turut diadakan.

Selain demonstrasi kercang, JWN turut mengadakan pameran mengenai permainan tradisional yang diletakkan di bawah Daftar Warisan.

Menurut beliau lagi, selain itu, turut diadakan adalah Kejohanan Gasing Pangkah atau MyGasing Championship melibatkan penyertaan persatuan gasing seluruh Malaysia dan juga Brunei Darussalam dan Singapura, pertandingan Kabaddi Terbuka Malaysia, Kejohanan Seni Silat Kreatif Berkumpulan melibatkan persembahan daripada peserta negara Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand,selain Pesta Citarasa Sambal.

Acara lain termasuklah antaraya Eksplorasi Bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, persembahan Diabolo Kuala Lumpur, Senam Joget P Ramlee dan Saloma, Baca Puisi Suara KL, KL X Urban Challenge, wall climbing, Larian Nusantara, senaman kecergasan, Agro Madani oleh FAMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun ini juga, beberapa acara baharu telah diperkenalkan bagi membangkitkan lagi semangat FPM@KL.

Antara pengisian baharu 2024 adalah Pertandingan Tarian Singa Interaktif, Jom Solat Subuh Macam Jumaat di bawah penyelarasan Olive House dan Masjid Jamek Kuala Lumpur, Pertandingan Catur Cina dan Pasar Saloma.

Majlis perasmian FPM@ Kuala Lumpur diadakan pada 15 September ini Dataran Merdeka oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN