1,500 tan metrik ikan sejuk beku disediakan tampung keperluan musim banjir - Utusan Malaysia

1,500 tan metrik ikan sejuk beku disediakan tampung keperluan musim banjir

MUHAMMAD Faiz Fadzil (kanan) meletakkan batu asas sebagai simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu PNK Besut sempena Program Ramah Mesra Madani di Kuala Besut, Besut, hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan 1,500 tan metrik ikan sejuk beku untuk menampung bekalan di pasaran seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, LKIM telah mewujudkan pusat pengumpulan stok ikan yang dilengkapi bilik sejuk beku di beberapa buah negeri bagi memastikan bekalan bahan mentah itu mencukupi pada musim tengkujuh itu.

Menurutnya, antara jenis ikan yang disimpan
di pusat pengumpulan itu adalah terdiri ikan segar seperti ikan kembung, selayang, cencaru dan tongkol yang dikenali sebagai ikan rakyat.

“Persatuan Nelayan Kuala Besut turut menyimpan 150 tan metrik ikan sejuk beku untuk menampung keperluan pada musim tengkujuh nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Air Batu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut sempena Program Ramah Mesra Madani di Kuala Besut di sini, hari ini.

Selain itu, Muhammad Faiz memberitahu, beberapa syarikat pemborong ikan juga akan mengimpot ikan dari dari luar negara untuk meningkatkan jumlah bekalan ikan pada musim.banjir ini.

“Jumlah ikan yang mencukupi di pasaran juga dapat mengelakkan berlaku kenaikan harga ikan sehingga membebankan pengguna pada musim tengkujuh,” katanya

Dalam pada itu, beliau menambah, sebuah kilang air batu baharu yang bernilai RM3 juta akan dibina di Kuala Besut.

Katanya, kilang air batu baharu itu dapat untuk menampung permintaan air batu kira-kira 600 nelayan dan peniaga ikan di daerah ini.

Jelasnya, kilang air batu baharu itu yang menggunakan sistem blok ais penyejukan secara langsung itu yang berkapasiti 50 tan
mampu menghasilkan sebanyak 374 blok sehari.

Tambahnya, PNK Besut telah mempunyai kilang air batu telah beroperasi semenjak tahun 2014 dengan kapasiti 53 tan dengan pengeluaran sebanyak 390 blok sehari.

“Kedua-dua kilang ais batu itu selepas ini akan dapat menghasilkan sebanyak 764 blok air batu sehari bagi kegunaan bot -bot nelayan di daerah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN