150 sistem ICT agensi kerajaan tidak diketahui pemilik, terdedah risiko digodam

150 sistem ICT agensi kerajaan tidak diketahui pemilik, terdedah risiko digodam

RAJA NUSHIRWAN ZAINAL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tahap sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT) di pelbagai agensi dan jabatan kerajaan persekutuan pada ketika ini disifatkan lemah, sekali gus mendedahkan kepada risiko serangan siber dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab dengan mudah.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin turut mendedahkan, hampir 20 peratus daripada keseluruhan 740 sistem ICT berbeza diurus pelbagai badan kerajaan adalah langsung tidak berfungsi.

Menurut beliau, kesemua hampir 150 sistem yang diklasifikasi sebagai ‘dormant’ itu tidak diketahui siapa tuan pemiliknya.

Katanya, ia mencerminkan kurangnya kesedaran terhadap pengurusan data dalam kalangan pegawai kerajaan.

Jelas beliau, salah satu punca kepada masalah itu adalah didakwa wujudnya komplot antara pegawai kerajaan dengan vendor IT, yang membolehkan perolehan dilakukan tanpa penelitian.

“Apabila seseorang SUB (Setiausaha Bahagian) masuk bahagian itu, dia ada kawan vendor yang menjual sistem itu dan mereka ‘kawtim’.

“Jadi tanpa disedari wujudlah sistem berasingan. Akhirnya, kita ada 740 sistem, dan daripada jumlah itu, 150 adalah tidak diketahui,” katanya menerusi sesi rapat umum Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) di sini hari ini.

Indeks baharu tersebut merupakan hasil dapatan soal selidik yang melibatkan seramai 105,663 responden dan berjaya membangunkan sejumlah 77 indikator dengan 230 pemberat.

Justeru, beliau mengingatkan semua agensi awam agar tidak mengambil mudah isu tersebut kerana ia melibatkan rekod rasmi dan menjejaskan integriti keselamatan kebangsaan.

“Ini cabaran sebab bagaiman sistem data kita tidak cekap dan tidak boleh berkongsi oleh pelbagai agensi lain yang akhirnya seluruh jaringan ICT kerana mudah digodam,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Raja Nushirwan berkata, keadaan teruk sistem ICT pada ketika ini terjadi disebabkan sikap alpa jentera kerajaan tiada penghayatan kepada kepentingan nilai data.

“Ada syarikat disenarai hitam bebas bida tender awam kerana saya pernah tanya isu ini ketika mengetuai jawatankuasa perolehan dan jawapan diterima ialah tiada data,” jelasnya.

Beliau berkata, sistem keselamatan negara perlu canggih seiring dengan keperluan semasa untuk mengatasi isu keselamatan counter terrorism termasuklah pemalsuan wajah (deepfake).

“Sebagai contoh fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tersohor berbeza 180 darjah daripada apa yang sebenarnya.

“Kita perlu mempunyai sistem yang sama canggih untuk menangani perkara seperti itu, jadi di manakah Malaysia dalam hal ini?

“Jika diukur pada skala 0 hingga 10, saya akan beri paling baik pun 2, dan dalam beberapa keadaan, ia boleh jadi 0. Inilah realiti keselamatan di negara kita,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN