PETALING JAYA: Polis menahan 13 remaja lelaki dalam Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara malam tadi.
Semua remaja berusia 14 hingga 19 tahun itu ditahan di Balai Polis Tun HS Lee, dekat sini bagi proses dokumentasi sebelum dibawa ke surau untuk mendengar tazkirah selepas solat Subuh.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kesemua individu tersebut didedahkan dengan aktiviti kerohanian termasuk solat Subuh.
“Selesai dokumentasi, mereka turut didedahkan dengan motivasi, solat Subuh berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah ringkas di Surau An Nazahah, JSPT KL,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pendekatan keagamaan adalah antara yang digunakan dalam menangani masalah sosial untuk penunggang motosikal remaja di ibu negara.
“Pendekatan keagamaan kepada remaja diharapkan dapat membantu jiwa dan minda mereka untuk membentuk akhlak yang lebih mulia.
“Ibu bapa juga disarankan agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak mereka terutama remaja yang kerap menjadi pengguna jalan raya bagi mengelak sebarang aktiviti melanggar undang-undang lalu lintas,” ujarnya. – UTUSAN