PUTRAJAYA: Seramai 120 majikan ditahan kerana disyaki menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kuala Lumpur.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, jumlah itu direkodkan tahun ini setakat 19 September lalu menerusi pelbagai siri operasi.
Katanya, tindakan ini diambil hasil aduan awam dan risikan.
“Dalam tempoh ini, sebanyak 1,170 operasi dilaksanakan terhadap pelbagai premis.
“Seramai 6,391 individu diperiksa manakala kita telah menahan 2,084 orang melibatkan PATI,” katanya kepada pemberita selepas Kursus Latihan Kemahiran Menembak Siri 2 Tahun 2024 di Lapang Sasar Menembak Shapadu di sini, hari ini.
Dalam program itu, seramai 18 pengamal media diberi peluang mengendalikan senjata CZ P-09 bagi acara Falling Plate sejauh 20 meter.
Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 120 orang adalah majikan dan individu yang menggajikan atau melindungi PATI.
Menurutnya, tindakan ke atas majikan diambil mengikut Seksyen 55B, Seksyen 56 (1)(D) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). – UTUSAN