12 syarikat GISBH dikompaun RM4.4 juta

12 syarikat GISBH dikompaun RM4.4 juta

SD
ARMIZAN Mohd. Ali d
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 12 syarikat berkaitan GISB Holdings Sdn. Bhd. dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM4.4 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana gagal menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan berhubung perniagaannya.

Memaklumkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas siasatan dilakukan SSM mendapati semua syarikat terbabit tidak memenuhi tuntutan tanggungjawab tersebut, baru-baru ini.

Beliau berkata, selain 12 syarikat tersebut, terdapat 17 lagi entiti lain yang menggunakan nama GISB dalam pendaftaran SSM.

Bagaimanapun, tambahnya, semakan lanjut pula mendapati sebanyak 201 perniagaan boleh dikaitkan dengan GISBH berdasarkan carian ‘GISB’ atau ‘Ikhwan’ menerusi laman sesawang.

“Antara tanggungjawab syarikat setiap tahun ialah perlu mengemukakan penyata kewangan mereka yang telah diaudit. Siasatan SSM mendapati 12 syarikat ini tidak patuh dengan tanggungjawab menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian TikTok Shop Seller Summit 2024 di sini, hari ini.

Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari segi perundangan dan ketidakpatuhan terhadap akta berkaitan oleh rangkaian perniagaan mereka.

Berdasarkan laman sesawang GISBH, syarikat tersebut dikesan mempunyai belasan rangkaian restoran dan pasar raya di beberapa negara luar termasuk di Mekah dan Australia.

Selain restoran Ikhwan Delights Sungai Pencala; GISBH turut mempunyai GH Corner Jakarta di Indonesia; Nur Muhamad Sydney di Australia; Nur Malaysia Makkah di Arab Saudi; Nur Malaysia Tashkent, Uzbekistan.

Nur Malaysia Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE); Love & Care Restaurant Bangkok, Thailand; Mihrimah Restaurant Singapore di Singapura; Nur Malaysia Paris di Perancis; Nur Malaysia Amman, Jordan; GH Corner di Mesir dan Nur Malaysia di London.

Terdahulu, PDRM melancarkan Op Global dengan menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan pada 10 September lalu.

PDRM juga membekukan 96 akaun milik syarikat terbabit bernilai lebih setengah juta ringgit.

Susulan itu, Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali, bersama 18 yang lain direman selama tujuh hari bermula 19 September lalu untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya