1,087 majikan lindungi PATI ditahan imigresen

1,087 majikan lindungi PATI ditahan imigresen

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menahan 1,087 majikan di seluruh negara sejak awal tahun ini kerana dikesan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perkara itu didedahkan Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh yang berkata, tindakan tegas tanpa kompromi juga boleh dikenakan terhadap mereka atas kesalahan imigresen.

“Malah setakat 6 September lalu, pihak JIM sudah melaksanakan 13,833 operasi dengan 32,445 orang warga asing ditangkap kerana pelbagai kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jumlah berkenaan ujar beliau, hasil pemeriksaan ke atas sejumlah 119,720 orang rakyat asing di seluruh Malaysia ketika operasi dilakukan agensi tersebut sepanjang tahun ini.

Justeru, beliau memberi amaran tindakan penguatkuasaan kepada majikan yang didapati sengaja cuba menggajikan secara haram atau menyembunyikan PATI di premis mereka.

Mengulas lanjut, Ruslin memberikan jaminan bahawa pihak JIM bukan sahaja bertindak ke atas pekerja asing tidak berdaftar, bahkan majikan terlibat dalam kes jenayah tersebut.

“Sehingga minggu lalu, kita juga sudah menghantar pulang 28,625 orang PATI ke negara mereka namun masih ada 16,072 orang lagi di depoh tahanan seluruh negara,” katanya.

Jumlah berkenaan walau bagaimanapun ujarnya, sentiasa berubah setelah selesai proses dokumentasi dilaksanakan pihak kedutaan sebelum PATI dihantar balik dengan segera.

Menyentuh mengenai aduan ada kawasan tertentu di ibu negara yang dibanjiri warga asing seolah-olah tiada kawalan, beliau berkata, pihak JIM memantau rapi isu berkenaan.

Sebuah pasukan khas katanya, turut sudah dibentuk di Kuala Lumpur yang sentiasa aktif bergerak ke kawasan terbabit membuat intipan dan pengumpulan maklumat di lapangan.

“Kami bukan setakat tunggu jika ada laporan dari orang awam, malah pihak JIM sendiri buat operasi semakan dan jika ada kesalahan, PATI itu ditahan serta-merta,” jelas Ruslin.

Ditanya berhubung kes tular seorang warga Singapura yang ditahan agensi tersebut di pintu masuk Johor baru-baru ini, beliau berkata, satu siasatan khas sudah pun diwujudkan.

Langkah itu tegasnya, bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kejadian dan beliau tidak mahu membuat kesimpulan awal kerana dibimbangi tidak berlaku adil dalam isu itu. – UTUSAN

Pada masa sama, beliau berkata, pihak JIM sentiasa melaksanakan proses naziran dan audit dalaman ke atas semua petugasnya di pintu masuk agar kes itu tidak berulang lagi.

“Jika sebelum ini kita tukar pegawai setiap lima tahun, maka selepas ini mungkin setiap tahun ada pertukaran pegawai terutama di kawasan yang agak sensitif,” tambah beliau.

Ruslim bahkan berkata, usaha berterusan itu turut meliputi semua pintu masuk utama antarabangsa di negara ini antaranya di Johor, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

Inisiatif itu ujarnya, demi memastikan imej Malaysia tidak terjejas dengan isu integriti oleh segelintir staf yang tidak bertanggungjawab seperti berlaku di KLIA akhir bulan lepas.

Pada masa sama tambah beliau, langkah positif itu juga diharapkan mampu menarik ramai lagi pelancong asing datang yang diharapkan dapat pula menjana ekonomi negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN