SABAK BERNAM: Lebih 1,000 pesawah di Sungai Leman, Sekinchan di sini, resah apabila tanaman padi di Blok L1 hingga L20 masih tidak menerima bekalan baja sehingga kini.
Ia susulan kira-kira 1,920 hektar tanaman yang terlibat dalam skim baja rintis itu berdepan faktor kelewatan sedangkan pokok padi ditanam secara berperingkat sejak bulan lalu.
Pesawah, Mohamad Asri Badron, 64, berkata, keadaan itu membimbangkan mereka yang terlibat dalam skim musim kedua tanaman tahun ini.
Menurutnya, kawasan itu antara beberapa kawasan di seluruh negara yang terpilih bagi pembekalan baja rintis oleh kerajaan.
“Kami memang menyokong usaha mengurangkan beban pembelian baja namun kerja-kerja semburan baja melalui dron mengambil masa agak lama.
“Anak pokok berusia empat hingga 10 hari kebiasaannya telah ditabur baja kali pertama tetapi ramai pesawah merungut kerana kawasan tanaman belum dapat melakukannya setakat ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambah Mohamad Asri, dia difahamkan terdapat 600 hektar tanaman padi di kawasan itu belum disembur baja kali pertama.
“Masalah ini tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan melantik syarikat bagi menguruskan projek rintis tersebut,” ujarnya.
Bagi Sulbani Abd Karim, 59, kelewatan bekalan baja itu mengakibatkan tumbesaran pokok padi pesawah terbantut.
“Jika tidak mengikut Persaudaraantarikh penanaman sebenar, kami risau ia menjejaskan buah padi sekali gus mengurangkan hasil pengeluaran musim ini.
“Pokok padi sepatutnya menerima empat kali baja semusim namun jadual pembajaan kali pertama pun sudah lewat dan kawasan sawah hanya akan dipenuhi rumput,” katanya.
Murshidul Hafid Ahmad, 50, pula mendakwa, pesawah terpaksa mendapatkan baja di pusat operasi dan stor yang dikendalikan pihak syarikat bertanggungjawab.
“Kami kini terpaksa menabur baja sendiri dan dibayar RM50 setiap lot sawah apabila semburan baja menggunakan dron lewat. Jika mahu menunggu satu pusingan baja selesai, ia mungkin makan masa lama untuk kerja pembajaan kali kedua,” ujarnya. – UTUSAN