100 peserta, lebih 50 kenderaan berhias sertai Perarakan Merdeka 67 UiTM - Utusan Malaysia

100 peserta, lebih 50 kenderaan berhias sertai Perarakan Merdeka 67 UiTM

Perarakan Merdeka 67
PESERTA Perarakan Merdeka 67 bergambar bersama di hadapan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 terus meriah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila kira-kira 100 peserta bersama lebih 50 kenderaan berhias menyertai Perarakan Merdeka 67 universiti itu, hari ini.

Program bermula seawal pukul 8 pagi itu disertai warga UiTM dan Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Selangor yang berarak dari pintu masuk utama kampus menuju ke Dataran Kolej Mawar.

Malah, perarakan tersebut turut melintasi bangunan-bangunan utama dalam kampus induk UiTM seperti Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) dan Stadium UiTM sejauh 5.2 kilometer.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, program sama dianjurkan jabatannya pada setiap tahun, namun kali ini menampilkan sedikit kelainan daripada segi aktiviti.

“Tahun sebelum ini, kami mengelilingi UiTM Shah Alam dengan menunggang basikal. Tapi tahun ini, peserta berkonvoi menggunakan kereta dan motosikal yang dihiasi bendera Jalur Gemilang.

“Malah, pihak Japen Selangor berbesar hati untuk menyertai perarakan ini. Seramai 10 staf mereka menyertai Perarakan Merdeka 67 UiTM ini,” katanya selepas program berkenaan.

Tambahnya, UiTM turut menyusun pelbagai program patriotik lain sehingga 16 September ini untuk terus menyemai rasa patriotik kepada warga kerja UiTM

Sementara itu, Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan dan Kewangan Japen Selangor, Noramira Alzahari berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada UiTM kerana menjemput mereka bagi memeriahkan program terbabit.

“Dalam program ini, kami turut mengagihkan 100 helai bendera Malaysia pelbagai saiz kepada UiTM.

“Usaha yang dilakukan pihak UiTM kita perlu puji kerana institusi tersebut mahu terus menyemai rasa cintakan Malaysia bukan sahaja terhadap warga kerjanya sahaja, tapi kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya