Zoo Johor dibuka semula selepas tiga tahun ditutup

Zoo Johor dibuka semula selepas tiga tahun ditutup

PARA pengunjung bergambar bersama ular sempena perbukaan dan cuti umum di Zoo Johor, Johor Bahru di sini hari ini. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Zoo Johor yang baharu dibuka semula hari ini mendapat sambutan ribuan pengunjung yang menggunakan peluang cuti umum sempena Sambutan Hari Kebangsaan, hari ini.

Seorang pengunjung, Fatanah Fadzil, 29, berkata, kunjungan ke Zoo Johor itu menggamit kenangan manis buat dirinya yang pernah berkunjung ke situ sebelum ditutup, tiga tahun lalu.

“Seronok rasanya dapat berkunjung lagi ke Zoo Johor hari ini. Saya datang bersama suami dan dua orang anak. Sebelum zoo ini ditutup kami juga pernah berkunjung ke sini.

“Banyak perubahan, nampak sangat cantik dan selesa. Memang menggamit memori dan mengimbau kenangan masa saya datang ke sini pada waktu kecil dahulu,” katanya semasa ditemui pada hari pembukaan semula Zoo Johor, di sini hari ini.

Elena Ho, 63, pula berkata, kali terakhir dia datang ke Zoo Johor adalah 40 tahun lalu.

“Sempena pembukaan semula hari ini, saya datang bersama cucu. Memang sangat menggembirakan. Haiwan lebih banyak berbanding dahulu dan kelihatan lebih terurus.

“Namun, saya mahu cadangkan kaunter jualan tiket boleh ditambah bagi memudahkan urusan pengunjung,” katanya yang menetap di Larkin.

Seorang lagi pengunjung, S. Angelena, 29, berkata, itu merupakan kali pertama dia dan keluarga berkunjung ke Zoo Johor kerana anaknya yang berusia tiga tahun mahu melihat pelbagai jenis haiwan.

“Tahun lepas saya ada datang tetapi tidak tahu rupanya sedang tutup untuk naik taraf. Jadi hari ini sempena pembukaan semula Zoo Johor dan cuti umum, saya datang bersama anak-anak,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang.

Zoo Johor yang berusia 96 tahun ditutup sejak 2020 bagi kerja-kerja naik taraf dengan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memaklumkan seramai lebih 3,500 pengunjung telah mengunjungi Zoo Johor setakat pukul 9.45 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya