PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf di atas kekhilafan semasa berucap di Himpunan Pembebasan Palestin yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Ahad, semalam.
Beliau memohon maaf atas kekhilafan semasa berbicara kerana dalam keghairahan dan rasa penuh semangat ketika itu.
“Hadirnya kita sebagai rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi.
“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin! Allahu Akbar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi memperjelaskan kesilapan melaungkan ‘hidup Israel’ semasa berpidato di himpunan berkenaan.
Himpunan tersebut bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis terhadap bumi Palestin.
Mengulas lanjut, Presiden UMNO itu memaklumkan Himpunan Pembebasan Palestin itu juga bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang dibunuh dengan kejam.
“Kami berkumpul bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam.
“Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan!,” katanya. – UTUSAN