PETALING JAYA: Sebanyak 600 keluarga B40 menerima sumbangan bakul makanan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Kuala Langat, hari ini.
Sejumlah RM90,000 diperuntukan dan setiap keluarga menerima bantuan sebanyak RM150 pada Majlis Penyampaian Ihsan Madani di Dataran Pantai Morib.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datin Faizah berkata, bantuan itu diberikan kepada mereka yang memerlukan dalam kalangan keluarga B40, fakir, miskin dan ibu tunggal.
“YBR prihatin dengan kekangan yang dihadapi mereka yang kurang bernasib baik disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Kami juga amat bersimpati dengan kesulitan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas ini dan berharap bantuan bakul makanan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang ditanggung.
“Kami sentiasa cakna dalam membantu masyarakat dalam meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada tahun ini, YBR telah memperuntukkan hampir RM600,000 bagi pemberian sumbangan kepada mereka yang memerlukan terutamanya dari kalangan B40.
Terdahulu, majlis dihadiri oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd. Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd. Rahman; Ketua Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR; Mohamad Ghazali Zainal Abidin. – UTUSAN