Yasin dipenjara seumur hidup - Utusan Malaysia

Yasin dipenjara seumur hidup

Yasin dipenjara
MUHAMMAD Yasin Sulaiman meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi selepas mendengar penghakiman dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap penyanyi dan komposer terkenal, Yasin selepas mendapati beliau bersalah atas tidak pertuduhan berkaitan dadah dihadapinya, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Norsharidah Awang selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan penyanyi lagu ‘Kerna Dia’ pada November tahun lepas.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu juga yang nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor, terus digari dan dibawa ke Penjara Kajang.

Hakim Norsharidah dalam penghakimannya berkata, Mahkamah Sesyen terkhilaf dan mendakwa keputusan dibuat bersandarkan kepada keterangan daripada saksi pembelaan (SP1) Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia, Dr. Ian Lloyd Anthony.

“Hakim Mahkamah Sesyen membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan gagal untuk memanggil saksi pakar untuk mematahkan keterangan SP1 yang melepas dan membebaskan responden.

“Isu di sini adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan SP1 dan juga responden memilih untuk berdiam diri,” katanya dalam penghakimannya.

Malah beliau turut menyatakan, Yasin, 49, sebagai responden prosiding tersebut ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen memilih untuk berdiam diri selepas dipanggil untuk membela diri.

“Dalam kes ini responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal di bawah undang-undang hingga legal insanity.

“Rujukan kepada alasan penghakiman dan semakan Mahkamah Sesyen, beliau mengakui responden ada melakukan perbuatan sebagai dalam masalah mental ketika pertuduhan dituduh,” ujarnya.

Kewarasan akal

Dalam pada itu, Hakim Norsyaridah turut memetik keterangan-keterangan saksi pendakwaan di Mahkamah Sesyen yang menerangkan prosedur dilakukan responden menguruskan penanaman pokok ganja di rumahnya menunjukkan dia mempunyai pengetahuan dan kewarasan akal untuk melakukannya.

“Saksi pendakwaan (SP3) (pakar bioteknologi tumbuhah, Prof. Dr. S. Sreeramanan), memberi keterangan tentang pokok kanabis yang dirampas dari rumah responden serta alatan yang ditemui di rumah tersebut yang konsisten digunakan dalam penanaman pokok kanabis.

“Keterangan SP3 menerangkan jangka masa penanaman yang mengambil masa beberapa minggu untuk tumbuh di samping penjagaan rapi.

“Keterangan SP3 menunjukkan responden mempunyai pengetahuan untuk membuktikan bahawa keadaan kesihatan mental adalah waras semasa dia ditahan oleh pegawai, SP7 (Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin),” jelasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.

Pertuduhan

Bagi kesalahan itu, bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN