PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dengan sebarang gerakan mengutip derma di media sosial bagi tujuan membantu warga Palestin yang dirawat di negara ini.
Peringatan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri meminta supaya rakyat berhati-hati dan berwaspada jika menerima mesej memohon derma yang mendakwa mengutip derma bagi warga Palestin.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin baru-baru ini menjelaskan kerajaan tidak mengutip derma bagi tujuan membantu membiayai warga Palestin itu.
“Sekiranya terima mesej sebegini (mesej mohon derma), sila buat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” katanya.
Ditanya sama ada sudah ada aduan diterima MCMC mengenai gerakan kutip derma itu, Fahmi berkata, beliau belum menerima maklumat terperinci tentang itu.
Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, dengan diiringi 86 waris mereka selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara (PTU) Subang. – UTUSAN