KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menyarankan kerajaan mengkaji semula secara menyeluruh pelaksanaan rasionalisasi subsidi.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu mahu kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan negara terhadap subsidi.
“Ya, kita faham keperluan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.
“Tetapi kita juga perlu memahami bahawa setiap ringgit yang dikurangkan dari subsidi adalah pukulan berat kepada rakyat yang sudah terbeban.
“Kita mencadangkan satu kajian semula yang menyeluruh, satu pendekatan yang lebih berhemah dan berperingkat dalam rasionalisasi subsidi,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Selain itu, Wanita UMNO juga meminta kerajaan mempertimbangkan semula pendekatan terhadap pembangunan ekonomi ketika ini.
Noraini berkata, walaupun negara mempunyai pencakar langit yang menjulang tinggi, lebuh raya bertingkat, pusat beli-belah mewah namun realiti di peringkat akar umbi jauh berbeza.
Katanya, Wanita UMNO, menyambut baik usaha kerajaan melalui inisiatif seperti Bantuan Tunai Rahmah, tetapi ia hanyalah setitis air di padang pasir kemiskinan yang semakin meluas.
“Kita memerlukan satu pendekatan yang lebih holistik, yang bukan sahaja memberi bantuan jangka pendek, tetapi membawa rakyat keluar terus dari kitaran kemiskinan secara total.
“Juga tidak mengabaikan golongan M40, yang terlalu `kaya’ untuk layak menerima bantuan, tetapi terlalu `miskin’ untuk hidup selesa dalam zaman ekonomi moden ini,” katanya. – UTUSAN