Wanita UMNO mahu noktahkan  krisis keyakinan terhadap parti

Wanita UMNO mahu noktahkan krisis keyakinan terhadap parti

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mahu menoktahkan krisis keyakinan rakyat terhadap parti itu yang belum pulih selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, ketidaktentuan politik pasca PRU 15 semakin buruk apabila  UMNO bukan sahaja kehilangan kepercayaan rakyat, tetapi sebahagian ahli parti sendiri.

Menurut beliau, defisit kepercayaan itu bukanlah suatu perkara baharu, namun dihadapi sejak PRU14.

“Sepanjang tempoh ini, krisis kepercayaan rakyat terhadap parti ini tidak pernah pulih. Dalam PRU13, kita memperoleh 122 kerusi. Angka ini menurun kepada 79 kerusi pada  PRU14 dan menurun lagi  pada  PRU15. Kini, kita cuma memiliki 30 kerusi sahaja.

“Justeru, perhimpunan hari ini perlu dijadikan sebagai titik mula, dalam usaha kita menoktahkan krisis keyakinan rakyat ini. 

“Kita perlu buat satu pembaharuan di persada politik negara untuk mencipta sebuah kisah klasik untuk masa depan. Kisah sebuah parti yang kembali bangkit membina semula kekuatan,” kata beliau pada   ucapan dasar  Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Dalam pada itu, Noraini berkata, Wanita UMNO perlu bersedia memulakan kebangkitan semula terutamanya berkaitan aspek jiwa, pembaharuan minda dan pencerahan visi.

Katanya, kebangkitan semula itu bukan sahaja akan memperkukuhkan UMNO, tetapi memperkasakan politik Malaysia secara keseluruhan. 

“Ia akan membawa perspektif baru kepada isu-isu penting seperti pendidikan, pembangunan ekonomi dan penjagaan kesihatan.

“Mari kita jadikan ini sebagai titik perubahan. Mari kita membina UMNO yang lebih kuat, lebih inklusif, dan lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran. 

“Saya percaya, dengan kekuatan yang ada pada Wanita UMNO, kita mampu bersama-sama merealisasikan visi ini, dalam usaha memberi nafas baharu dalam perjuangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN