Wajah Afham tenang ketika dimandikan, Umi sudah reda -Ibu - Utusan Malaysia

Wajah Afham tenang ketika dimandikan, Umi sudah reda -Ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNCAK ALAM: “Hati umi betul-betul tenang.”

Demikian luahan ibu kepada Allahyarham Muhammad Nidza Afham, Irni Yusnita Istihat, 54, semasa menatap wajah anaknya buat kali terakhir.

Jelasnya, sejak dompet dan telefon milik Afham dijumpai pada Selasa malam, hatinya sudah menjangkakan insiden buruk yang mungkin berlaku kepada anak kelima itu.

“Balik malam itu selepas buat laporan polis, umi berdoa agar Allah pulangkan anak umi sempurna seperti mana dilahirkan.

“Bagaimana cara pun berlaku kepada Afham, bagaimana ajalnya, saya sudah tidak lagi peduli.

“Sebab Allah itu satu, kalau ada yang berniat jahat pasti akan dibalas,” katanya.

Irni ditemui Utusan Malaysia di Tapak Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam, di sini, hari ini.

Sementara itu, Irni bersyukur kerana doanya agar Afham dikembalikan dengan keadaan sempurna terkabul.

“Umi reda dan sangat bersyukur. Hati umi betul-betul tenang tengok raut wajah Afham.

“Semasa umi duduk tengok dia dimandikan, tiada satu pun yang patah. Allah bagi dia sempurna sama seperti mana dia dilahirkan. Cukuplah,” jelasnya.

Bagaimanapun, Irni enggan memikirkan mengenai hasil laporan punca kematian yang dikeluarkan, namun terbuka sekiranya pihak polis mahu melakukan siasatan lanjut.

“Yang itu umi tidak mahu fikir, ia bukan kerja umi. Kalau polis nak siasat silakan, umi sudah reda. Doakan anak syurga umi,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Nidza Afham selamat dikebumikan di Tapak Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam sekitar pukul 6:45 petang tadi.

Proses pengebumian disempurnakan oleh Nazir Masjid Puncak Alam, Aiman Wafiy Roslan.

Menerusi laporan bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam hari ini, pihak polis bagaimanapun mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut (SDR).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya