PETALING JAYA: Persembahan penyanyi, Ernie Zakri sempena sambutan Ambang Merdeka 2024 di taman Esplanade KLCC malam tadi meraih pujian pelancong.
Beberapa pengunjung dari Eropah dan China mengakui meremang mendengar lontaran vokal penyanyi itu terutama ketika membawakan lagu ‘Ku Bersuara’.
“Alhamdulillah, saya gembira dan terkejut juga bila dapat tahu mengenai reaksi diberikan.
“Saya hanya mampu buat yang terbaik, tidak sangka pula sokongan dan sambutan yang diberikan mereka di KLCC semalam sangat bagus.
“Saya rasa bangga sebab diberi peluang untuk terlibat dalam persembahan berskala besar di KLCC.
“Semua ini membuatkan saya ingin terus bekerja keras,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, beberapa video reaksi pelancong luar negara terhadap persembahan Ernie Zakrie menjadi tular di laman sosial.
Rata-rata terkejut dengan bakat dan suara yang dimiliki anak jati Kuala Lumpur itu.
“Pelancong orang putih sebelah aku tadi bersorak tengok Ernie Zakri nyanyi. Cemerlang macam biasa,” tulis satu komen.
“Siapa penyanyi itu? Saya ingat mereka pasang CD (cakera padat),” kata seorang pelancong China di media sosial.
“Vokalnya stabil, saya terus meremang,” kata satu pengguna.
Terdahulu, semasa persembahan malam tadi, Ernie menyanyikan tiga lagu iaitu Ku Bersuara, Masing Masing dan satu lagu duet bersama suami, Syamel bertajuk Setia.
Selain Ernie, turut memeriahkan persembahan program “Rise above it all” malam tadi ialah Amy Search, Reshmonu, Yuna, Hael Husaini dan Datuk M. Nasir. -UTUSAN