Video tular pandu kereta: Bapa, anak akan didakwa

Video tular pandu kereta: Bapa, anak akan didakwa

WAN KAMARUL AZRAN WAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa seorang lelaki bersama anak yang dikaitkan dengan video tular kanak-kanak memandu kereta, di Puchong baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Beliau berkata, tarikh pendakwaan belum lagi ditetapkan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan 1987.

“Manakala, bapanya pula akan dituduh mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, hukuman Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Wan Kamarul Azran berkata, pertuduhan juga akan dibuat bersama dengan kertas siasatan jenayah selepas pegawai penyiasat melaksana tindakan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan polis mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya di kawasan Taman Putra Impiana di Puchong, sehingga tular di media sosial.

Wan Kamarul dilaporkan berkata lelaki berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.

Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN