KUALA LUMPUR: “Kami masih bersama.”
Demikian jawapan penyanyi, Velvet Aduk, 37, mengenai spekulasi yang kononnya dia sudah bercerai dengan vokalis kumpulan Estranged, Rich Gimbang, 42.
Menurut bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-4 itu, dia tahu mengenai khabar angin tersebut dan terkejut apabila spekulasi perceraian itu tersebar pantas di media sosial.
“Biasalah, dalam perkahwinan, bukan semua tentang roses and flowers (indah-indah). Tapi, Kami tidak pernah ke arah itu (bercerai).
“Mungkin, yang mengikuti kehidupan saya menerusi media sosial berteka teki bila saya tidak kongsi kebahagiaan dengan suami.
“Netizen cepat membuat spekulasi bila tidak melihat gambar anak atau suami saya (di media sosial). Dan spekulasi itu cepat tersebar.
“Apa pun, saya jelaskan yang saya dan Rich masih suami isteri,” katanya.
Velvet ditemui wartawan selepas sidang media konsert Sounds of Borneo di ibu kota, semalam.
Sebelum ini timbul spekulasi perceraian apabila penyanyi kelahiran Sabah itu tidak lagi berkongsi foto bersama suaminya di media sosial.
Kata Velvet, tindakan tersebut (mengurangkan foto keluarga) di media sosial adalah langkah untuk menjaga privasinya dan orang tersayang.
“Bila semakin berusia, kehidupan saya tidak lagi kerap saya pertontonkan di media sosial. Yang saya kongsikan adalah tentang kerja dan kerjaya sahaja.
“Saya tidak mahu lagi terlalu mencanang kehidupan peribadi kepada umum. Itu pada saya tindakan yang betul.
“Umur saya pun sudah meningkat. Jadi saya mahu lindungi perkara yang saya sayangi. Tidaklah merugikan kalau kita tidak berkongsi kisah kehidupan kita dengan orang lain,” kongsinya.
Mengulas mengenai konsert Sounds of Borneo, Velvet bersyukur kerana penat lelah memartabatkan dan memperjuangkan muzik tradisi kepulauan Borneo, khususnya Sabah, terbalas dengan konsert berprestij di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
“Susah payah kami, bergolok gadai demi meneruskan kelangsungan muzik tradisi terbayar dengan konsert ini.
“Saya harap, ini bukan yang terakhir, malah muncul lagi peluang lain untuk kami bawakan muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi,” kongsinya.
Sounds of Borneo yang turut menampilkan penyanyi, Marsha Milan dan Alena Murang bakal dipentaskan pada 7 September ini di DFP.
Persembahan mereka bakal dikuasakan dengan iringan barisan pemuzik terbaik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).
Tiket yang berharga serendah RM188 hingga RM388 boleh ditempah menerusi laman sesawang www.mpo.com.my, atau hubungi 03-23317007. Pembelian juga boleh dibuat menerusi [email protected].