PETALING JAYA: Pelakon, Uqasha Senrose, mencabar bekas pembantu peribadinya untuk menampilkan segala bukti sekiranya benar aktor itu melakukan keganasan fizikal seperti didakwa.
Jelas Uqasha, tuduhan yang dilemparkan bekas pembantu peribadinya itu disifatkan sangat melampau membuatnya tidak lagi boleh berdiam diri.
“Aku tidak pernah cakap diri aku baik, lembut, pijak semut tidak mati. Itu pandangan orang kepada aku.
“Aku baik dengan orang yang baik dengan aku, jika orang buat jahat pun aku masih boleh diam.
“Tapi kalau sudah fitnah aku kaki pukul, bagi penumbuk semua itu. Ia sangat melampau. Macam aku cakap, kata-kata ini murah. Aku pun boleh cakap apa sahaja yang aku mahu sekarang ini.
“Jadi, tunjuklah bukti sekarang. Mungkin gambar. Kenapa tidak pergi buat laporan polis terus lepas kejadian itu? Kenapa tunggu sampai tujuh hari?” tulisnya dalam satu hantaran di InstaStory.
Dalam perkongsian berbeza, isteri kepada pelakon Kamal Adli itu juga mendakwa bahawa bekas pekerjanya itu pernah menjaja fitnah melibatkan ahli keluarganya berdasarkan kepada bukti tangkap layar perbualan di aplikasi Whatsapp.
“Setiap manusia ada had kesabaran. Namun bila sudah sentuh keluarga suami, siap buat fitnah.
“Tidak sangka gaji penuh setiap bulan walau tiada penggambaran, menjadikan dia penyampai cerita rumah tangga orang. Di sini pun sudah nampak warna sebenar dia,” kongsi Uqasha.
Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila sebuah laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantu peribadi Uqasha menjadi tular.
Dalam laporan itu menyatakan Uqasha membaling kotak, merentap tudung dan meludah kepada dirinya.
Bukan itu sahaja, sepupunya, Aprena Manrose didakwa menepuk mulut pembantu itu dan memukulnya menggunakan penyangkut baju.
Utusan Malaysia telah cuba mendapatkan respons daripada Uqasha namun tidak berjaya. -UTUSAN