PETALING JAYA: Pelakon, Uqasha Senrose, kecewa dengan tindakan bekas pembantu peribadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan mengaibkan nama baiknya.
Jelas Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, sepanjang bekerja, pelakon itu tidak pernah culas membayar gaji kepada bekas pembantu peribadinya itu walaupun perkhidmatannya tidak diperlukan selama beberapa bulan.
Bukan itu sahaja, pelakon Perempuan Tanpa Dosa itu turut mendedahkan bahawa bekas pembantunya itu memang gemar menjaja cerita buruk majikan yang pernah bekerja dengannya.
“Pernah nasihatkan dia untuk berhenti cerita tentang bekas majikan. Tapi memang jenis mulut suka bercerita hal dalam kain orang.
“Sampai pernah terfikir jika suatu hari tidak lagi bekerja dengan saya, tidak mustahil dia juga akan bercerita tentang kita.
“Tapi waktu itu kita masih bersangka baik,” tulisnya dalam sebuah hantaran di InstaStory.
Bukan itu sahaja, Uqasha turut mendakwa bekas pembantu peribadinya itu juga masuk ke bilik tidurnya tanpa kebenaran sebelum mengesan barang peribadinya iaitu beg kertas berwarna merah jambu telah hilang.
“Selepas beberapa hari, baru perasan beg kertas itu sudah hilang. Mahu cari rakaman dalam kamera litar tertutup sudah tiada. Waktu itu punyalah salahkan diri sendiri sebab percayakan dia.
“Tapi dia siap salahkan orang gaji saya sedangkan sebelum ini dia yang mengaku ambil beg kertas itu,” katanya.
Tidak berhenti di situ, isteri kepada pelakon Kamal Adli itu juga berkongsi bekas pembantunya itu pernah memakai pakaiannya tanpa kebenaran di samping berhutang dengan banyak pihak termasuk bekas majikan.
Terdahulu, kecoh di laman sosial apabila sebuah laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantu peribadi Uqasha menjadi tular.
Dalam laporan itu menyatakan Uqasha membaling kotak, merentap tudung dan meludah kepada dirinya.
Bukan itu sahaja, sepupunya, Aprena Manrose didakwa menepuk mulut pembantu itu dan memukulnya menggunakan penyangkut baju.
Utusan Malaysia telah cuba mendapatkan respons daripada Uqasha namun tidak berjaya. -UTUSAN