UMNO yakin kembali dominan dalam kerajaan

UMNO yakin kembali dominan dalam kerajaan

umno
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO yakin akan kembali dominan dalam pentadbiran kerajaan sekiranya berjaya mengatasi elemen sentimen yang ‘menghantui’ pemikiran ahli akar umbi dan masyarakat Melayu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu tidak mustahil, namun parti perlu meningkatkan pemahaman dan juga semangat rasa kekitaan dalam kepe­mimpinan di akar umbi.

Malah, ‘kehadiran’ tujuh menteri UMNO dalam Kabinet yang memiliki pengalaman luas dapat membuka ruang dan peluang untuk parti Melayu ini menarik semula sokongan pengundi dalam pilihan raya akan datang.

“Kita positif tetapi tidak over confident (tidak terlebih yakin)  dalam perkara ini, tetapi (ketika ini) kerjasama dengan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan  di Semanjung iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta di Sabah dan Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki kesefahaman yang baik dan tiada masalah dalam kepimpinan utama, cuma kita perlu pertimbangkan di peringkat bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Ahmad Zahid, usaha untuk kembali dominan itu hanya boleh direalisasi sekiranya UMNO memiliki jumlah kerusi yang cukup dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Itu bergantung kepada UMNO mendapat kerusi terbanyak atau tidak, tidak ada makna nak itu dan ini kalau kerusi kita ‘ciput’.

“Jadi, kita mesti mengelakkan keciputan itu untuk menjadi perdana menteri semula,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengakui kegagalan dan kelemahan parti mahupun kerajaan adalah dari segi tidak meneroka sepenuhnya medium baharu komunikasi.

Justeru, katanya UMNO kini akan berganjak menggunakan medium komunikasi tanpa lisan dalam menangani sentimen yang dibangkitkan pembangkang atau ahli akar umbi  agar dapat meraih kembali kepercayaan orang Melayu.

“Tentang sokongan orang Melayu, saya akui ia masih berada di tahap rendah. Itu sebabnya saya merujuk kepada soal isu dan sentimen. Pada hemat saya, ia belum ditangani dengan baik oleh bukan hanya kepimpinan UMNO tetapi juga kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Penjelasan harus pergi ke akar umbi kerana kita menggunakan saluran konvensional dan perkara itu tidak sampai. Sebab itu, kita guna pendekatan bukan konvensional seperti saluran media dalam talian dan medium komunikasi berbeza yang cakupannya lebih luas serta lebih ramai

“Kegagalan dan kelemahan kita adalah dari segi tidak meneroka sepenuhnya pendekataan baharu ini. Inilah yang harus kita lakukan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN