KUALA LUMPUR: Hari ini UMNO sudah terkubur sekiranya menerima tawaran daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menubuhkan kerajaan, suatu ketika dahulu.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, pembentukan kerjasama antara UMNO dan PN hanya sekadar memburukkan kedudukan parti dalam membangunkan semula kepercayaan orang Melayu.
“Walaupun pelbagai tawaran diberikan daripada parti lawan, hakikatnya ia seumpama buah yang manis tetapi berulat di dalam.
“Sekiranya waktu itu UMNO menerima tawaran PN untuk menubuhkan kerajaan dengan segala janji mereka atas nama bangsa dan negara tetapi hakikatnya menguburkan UMNO selama-lamanya,” katanya ketika membawa Usul Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, landskap politik baharu menerusi kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) perlu diterima di setiap akar umbi.
Beliau yang merupakan perwakilan dari Perak berkata, semua strategi di peringkat pusat dan peringkat yang digerakkan perlu dipertahankan oleh parti.
“Jangan kita beria-ia berkongsi strategi itu di dalam sosial media seperti Facebook dan audio siar dengan menceritakan segala tindakan kepada orang luar yang tidak sepatutnya mengetahui strategi tersebut,” katanya.
Tambahnya, UMNO Perak berhasrat untuk melihat parti terus istiqamah dan bekerja kuat untuk melihat bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan sepenuhnya.
“Jasa dan pengorbanan ke atas program-program rakyat ketika beliau menjadi Perdana Menteri diingini semula oleh rakyat pada hari ini,” katanya. – UTUSAN