UMNO perlu perangi politik toksik

UMNO perlu perangi politik toksik

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berbincang sesuatu dengan Setiausaha Agung Parti, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru UMNO mengisytiharkan perang ke atas segala politik toksik dan batil bagi mengangkat martabat orang Melayu.

Naib Presiden UMNO itu berkata, mereka yang terbabit bermain dengan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum serta menakut-nakutkan orang Melayu tentang kehilangan hak dan kuasa semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik.

“Bangsa yang tidak yakin dengan diri sendiri akan menjadi bangsa lemah, bangsa yang takut dan mudah ditakut-takutkan tidak akan memajukan dirinya.

“Hanya bangsa yang yakin, yang kuat pendiriannya akan menjadi bangsa yang unggul dan berketahanan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini semalam.

Dalam pada itu katanya, UMNO tidak akan membiarkan nasib orang Melayu menjunam dan agama Islam berhadapan ancaman, sebaliknya terus mempertahan serta memperjuangkannya.

Mohamed Khaled berkata, orang Melayu perlu ingat bahawa selain UMNO, terdapat instrumen lain yang menjadi benteng penting dalam memelihara kepentingan dan haknya.

Oleh kerana itu, beliau menyeru orang Melayu untuk terus yakin dan tidak termakan dengan politik toksik serta batil yang dimainkan pihak tertentu.

“Kita ada Raja Berperlembagaan. Kita ada pelbagai institusi kerajaan yang hampir semuanya diketuai oleh orang Melayu. Kita ada penjawat awam dan jangan lupa, kita ada Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Kesemua instrumen ini yang menjadi ekosistem dan benteng yang sangat kukuh dalam melindungi orang Melayu.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ahli UMNO perlu bertanggungjawab menjelaskan kekeliruan kepada orang Melayu bahawa parti dan agama adalah dua perkara berbeza.

Katanya, kefahaman itu perlu dijelaskan dengan tindakan pembangkang yang sebangsa dan seagama sanggup menyifatkan UMNO agama parti yang sekular, malah pernah membaca talkin seolah-olah UMNO sudah mati.

“Begitu juga mereka sanggup mengheret institusi raja dalam kancah politik, lalu merendahkan kedudukan Raja-Raja Melayu. Mereka turut memainkan sentimen perkauman dan politik kebencian melampau.

“Setiap hari, Pas asyik meratib UMDAP, UMDAP, UMDAP, tetapi kita kena ingat, orang UMNO belum pernah berguling atas jalan sambil pegang bendera DAP,” katanya.

Kata Wan Rosdy, Pas boleh menjadi apa sahaja kerana politik, malah turut menggunakan agama untuk menghasut rakyat terutama golongan muda.

“Maki hamun, carutan, caci maki, fitnah dan pembohongan dinormalisasikan melalui kempen-kempen mereka,” ujarnya.

Tegasnya, strategi pembangkang ini merosakkan pemikiran generasi muda Melayu, sekali gus menjadi tanggungjawab UMNO untuk memperbetulkan keadaan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN