UMNO perlu perangi politik toksik 

PAU 2024: UMNO perlu perangi politik toksik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perubahan landskap politik Melayu menyaksikan kemunculan ‘politik toksik’ pada skala yang disifatkan luar biasa.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan berkata, politik toksik itu dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.

Katanya, pada pilihan raya umum lalu, UMNO menyaksikan kemunculan ucapan politik berunsur kebencian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. 

“Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini.

“Pemerhatian saya, telah mati di persada politik orang Melayu ini politik yang matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik. Telah muncul apa yang saya panggil ‘politik toksik dan batil’ pada skala yang luar biasa.

“Ia telah memusnahkan nilai dasar yang mendorong kita berpolitik dan kenapa kita mendukung idealisme pergerakan politik. Justeru, kita mesti memerangi politik nista dan toksik ini,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam ini.

Mohamad berkata, orang Melayu mesti disedarkan bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini menjadikan orang ramai ‘antiakal’, ‘antikebenaran’ dan anti segala-galanya malah tidak mencerminkan peribadi UMNO.

“Politik toksik tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat.

“Ia sebenarnya telah memundurkan standard dan etika politik bangsa Melayu ke tahap paling rendah. Masa depan UMNO adalah sangat bergantung kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik’ ini.

“Ingat, segala ucapan kebencian, merendah-rendahkan martabat orang, menggelar dengan pelbagai gelaran yang tidak elok, bukan cerminan sebenar peribadi dan akhlak kita,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa setiap tindakan buruk seseorang ahli UMNO akan memberi gambaran buruk pada parti secara keseluruhan.

“Janganlah hanya kerana nila setitik, ia menjadi gambaran pemikiran UMNO keseluruhannya. Kepada semua Wanita, Pemuda, dan Puteri, jadilah anda sebagai semua mereka yang membawa kesejukan dan redup mata kepada bangsa dan negara.

“Bukan pencetus, segala tindakan anti akal dan cetusan emosi yang dangkal. Yang menjadi fitnah dan titik hitam, pada bangsa dan agama. Perjuangkanlah kepentingan bangsa dan agama dengan hikmah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN